::Tolong Penuhkan Tabung Kahwin Saya::

Saturday, 20 August 2011

Cuai tetap faktor utama kecelakaan

SETIAP kali musim perayaan, kita tidak akan terlepas daripada dihidangkan berita tragedi kemalangan yang menyayatkan hati.
Meskipun pelbagai kempen keselamatan dan operasi dibuat, jumlah kemalangan tetap tinggi.

Sempena Aidilfitri tahun ini, polis akan melancarkan Ops Sikap 24 yang tujuannya untuk mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pendekatan digunakan pada Ops 24 kali ini akan membabitkan perubahan daripada segi strategi dan ia akan diumumkan apabila dilancarkan Isnin ini. “Perubahan dilakukan itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut di samping memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama menjelang musim perayaan,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Mesra 1Malaysia, minggu lalu.

Bagaimanapun, sukar untuk menafikan keberkesanan sebarang strategi untuk menurunkan kadar kemalangan maut tetap bergantung kepada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

Ketika Ops Sikap 22 digerakkan pada Aidilfitri tahun lalu, 248 kematian membabitkan 218 kemalangan maut dicatatkan.
Dalam tempoh dua minggu operasi itu, jumlah keseluruhan kemalangan yang direkodkan pula 16,817 kes dengan pengguna motosikal menjadi penyumbang kemalangan maut tertinggi iaitu 65 peratus manakala sebanyak 144,576 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Mengulas mengenai angka terbabit, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof dilaporkan berkata, kadar penurunan yang lebih tinggi boleh dicapai jika pengguna mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan.
“Penurunan yang lebih tinggi boleh dicapai jika pengguna jalan raya mematuhi had laju ditetapkan dan menjadi pengguna bijak dengan mengelak terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Abd Aziz juga memaklumkan terdapat kira-kira sembilan juta kenderaan berada di jalan raya di seluruh negara pada musim perayaan itu berbanding tiga juta pada hari biasa.

Justeru, angka belasan ribu kemalangan yang dicatatkan itu bukan mengejutkan kerana dengan sembilan juta kenderaan berada di jalan raya, kebarangkalian untuk kemalangan berlaku sentiasa tinggi terutama dengan mentaliti sebilangan pengguna yang boleh dikatakan lupa diri apabila memegang stereng.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh ketika diminta mengulas mengenai jumlah kemalangan yang tinggi ketika musim perayaan Aidilfitri berkata, isu itu boleh diatasi jika pengguna berpegang sepenuhnya kepada ajaran agama apabila di jalan raya.

Menurutnya, Islam sentiasa mengingatkan penganutnya supaya menjaga disiplin diri dalam apa jua keadaan.

“Saya percaya jika seseorang itu berpegang kepada ajaran agama, tidak timbul soal bertindak melulu sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Perbuatan tidak sabar hingga menyusahkan orang lain adalah berdosa.

“Ingatlah pada Ramadan ini, mereka yang berbuat baik akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda,” katanya.

Menurutnya, tindakan sebilangan pengguna yang sengaja menyakiti hati dan menyusahkan pengguna lain seperti memandu laju, cuai, mengekori rapat kenderaan lain, meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengira perasaan orang lain, berlumba dan sifat negatif lain di jalan raya adalah berdosa.

“Jika seseorang itu menganggap puasa hanya sekadar berkaitan lapar, dahaga dan letih, kemampuannya untuk bersabar akan hilang serta digantikan dengan rasa marah hingga sanggup menyusahkan orang lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya membuang perasaan riak, takbur, menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika di jalan raya demi keselamatan semua pihak termasuk diri pengguna itu sendiri.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengambil langkah bijak apabila mengumumkan pihaknya tidak akan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Namun, itu tidak bermakna pengguna akan bebas melakukan kesalahan trafik kerana JPJ menempatkan pegawainya yang berpakaian preman di lokasi tertentu untuk merakam gambar pesalah trafik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan turut menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam untuk pulang ke kampung kerana kajian mendapati ia lebih selamat selain mengurangkan kesesakan lalu lintas menerusi penggunaan kenderaan persendirian yang lebih rendah.

Menurutnya, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan menggunakan kenderaan awam berbanding kenderaan persendirian adalah antara tujuh hingga sembilan kali lebih selamat selain 48 kali lebih selamat berbanding menunggang motosikal.

Bagaimanapun, JPJ terlebih dahulu perlu meyakinkan orang ramai penggunaan kenderaan awam benar-benar selamat kerana kebiasaannya kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan terutama bas membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

Perkara ini diakui Solah yang berkata, pihaknya akan melakukan aktiviti penguatkuasaan lebih ketat untuk memastikan bas berkenaan selamat digunakan manakala pemandunya benar-benar cekap dan berkelayakan.

“JPJ akan menempatkan pegawai kami yang menyamar sebagai penumpang untuk memastikan pemandu bas tidak melanggar peraturan trafik seperti menggunakan telefon bimbit, memandu laju dan berbahaya,” katanya yang turut memberitahu pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk menjalankan pemeriksaan rambang air kencing terhadap pemandu bas awam.

Tidak dinafikan keadaan kenderaan dan jalan raya turut menjadi punca kemalangan, tetapi kesilapan terbesar disebabkan kecuaian pengguna sendiri.

Sejak kecil kita diajar dengan nilai murni seperti sabar, bekerjasama, berhati-hati, menghormati perasaan orang lain dan saling membantu.

Nilai murni itu jika diamalkan di jalan raya pasti mampu mengurangkan kadar kemalangan meskipun perlu diakui memang sukar untuk mencapai tahap kemalangan sifar.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

:Klik, Klik, Klik::